Syeikh Daud al-Fatani sebagai Pengukuh Tradisi Keilmuan Sunni di Alam Melayu
Keywords:
Syeikh Daud al-Fatani, tradisi keilmuan Sunni, Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Kitab Jawi, Alam Melayu, pendidikan pondok, Mazhab Syafi’iAbstract
Tradisi keilmuan Sunni di Alam Melayu berkembang melalui jaringan ulama yang menghubungkan pusat-pusat ilmu Islam di Nusantara dengan Haramayn sejak abad ke-17 dan ke-18. Dalam tradisi ini, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani (1769–1847M) muncul sebagai antara ulama Melayu yang paling prolifik dan berpengaruh melalui penghasilan karya-karya Jawi yang terus digunakan dalam institusi pendidikan Islam sehingga hari ini. Kajian ini bertujuan menganalisis hubungan antara konteks sejarah Patani dan Makkah dengan pembentukan pemikiran Syeikh Daud al-Fatani, serta menjelaskan bagaimana karya-karya beliau berfungsi sebagai medium dalam proses penginstitusian tradisi keilmuan Sunni dalam sistem pendidikan pondok di Alam Melayu. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan kaedah analisis dokumen terhadap karya-karya utama Syeikh Daud al-Fatani serta sumber-sumber sejarah dan kajian akademik berkaitan. Data dianalisis menggunakan analisis tematik dengan pendekatan sejarah intelektual bagi menafsir hubungan antara konteks sejarah, pembentukan pemikiran dan penghasilan karya. Dapatan kajian menunjukkan bahawa keruntuhan politik Patani dan suasana intelektual Makkah telah membentuk orientasi pemikiran Syeikh Daud, yang kemudiannya termanifestasi dalam korpus karya Jawi merangkumi bidang akidah, fiqh Mazhab Syafi’i, muamalat, tasawuf dan pendidikan. Penyebaran karya-karya tersebut melalui penyalinan manuskrip, penerbitan bercetak serta penggunaannya secara berterusan sebagai teks pengajian dalam institusi pondok telah menyumbang kepada penginstitusian tradisi keilmuan Sunni merentasi generasi. Kajian ini merumuskan bahawa Syeikh Daud al-Fatani bukan merupakan pengasas tradisi keilmuan Sunni di Alam Melayu, sebaliknya seorang tokoh yang berjaya memperkukuh dan menginstitusikan tradisi tersebut melalui sebuah korpus karya yang tersusun serta kekal menjadi asas pendidikan Islam di Alam Melayu sehingga kini.
Downloads
Published
Issue
Section
License
2026 International Thaqafah

This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.

